Pekerja Migran di Malaysia: Terlepas Pandang?

Saya dibesarkan oleh seorang wanita bernama Kakakcu yang berasal dari Indonesia. Saya menganggap dia sebagai darah daging saya sendiri.

Setelah mencecah umur 28 tahun, Kakachu telah berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki bagi keluarganya di kampung. Bekerja sebagai seorang pengasuh, Kakakcu dipertanggungjawabkan untuk menjaga saya dan abang saya, memasak makanan kami, membawa kami ke sekolah, dan memberi kasih sayang seperti keluarga dia sendiri.

Seperti pekerja migran yang lain, Kakachu diupah untuk menjaga kami, memasak dan membersih persekitaran rumah kami. Pada dasarnya mereka  jugalah yang membina bangunan dan rumah-rumah rakyat Malaysia, menyapu dan menjaga kebersihan bangunan-bangunan dan pejabat-pejabat kita. Setelah mengetahui bagaimana dia telah datang ke negara ini untuk mencari rezeki, saya terbungkam.

Kakakcu, bersama kira-kira 1.2 juta pekerja migran tanpa dokumen, merupakan mangsa eksploitasi buruh. Mereka merupakan golongan yang senang terdedah kepada eksploitasi oleh ejen perekrut dan majikan yang tidak bertanggungjawab, dasar imigrasi yang keras, dan kekurangan penguatkuasaan perlindungan buruh.

Berita mengenai wabak Covid-19 baru-baru ini telah mendedahkan risiko keselamatan di kalangan pekerja migran dan pekerja tanpa dokumen. Sejak kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (‘Restricted Movement Order’) beberapa bulan yang lalu, masyarakat Malaysia juga telah mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan benci dan perkauman di media massa terhadap pekerja migran dan pelarian di Malaysia.

Kakakcu adalah salah seorang daripada beribu pekerja yang diberi peluang untuk mencari rezeki dan bekerja di dalam keadaan yang selamat dan adil. Tetapi bagaimana pula dengan pekerja migran yang masih ada di negara ini? Adakah mereka telah diabaikan? Adakah perlakuan dan diskriminasi terhadap pekerja-pekerja migran di negara ini adil?

Perbezaan hak istimewa

Kebanyakan masyarakat migran kerap mengambil pekerjaan yang dikenali sebagai ‘pekerjaan 3D’, iaitu “Dangerous, Dirty and Difficult” (Berbahaya, Kotor dan Sukar). Pekerjaan seperti ini jarang diambil oleh masyarakat tempatan. Pekerja migran tanpa dokumen lebih terdedah kepada keadaan ini dan pada masa yang sama, ia merupakan permintaan tenaga buruh yang tinggi oleh peniaga tempatan.

Kebanyakan pekerja migran di Malaysia dibayar gaji minimum atau dengan upah yang sedikit. Tambahan pula, jika mereka mempunyai dokumen  tertentu, mereka seharusnya diberi faedah seperti hari rehat yang wajib, kerja lebih masa atau faedah perubatan. Tetapi, ini sangat jarang berlaku di Malaysia. Manakala, bagi pekerja migran tanpa dokumen, mereka mengalami keadaan yang jauh lebih teruk.

Walaupun Kementerian Sumber Manusia telah mengatakan bahawa pencari kerja yang bergaji harian mesti dibayar berdasarkan perjanjian mereka dengan majikan mereka, namun kebanyakannya terutama dalam industri perniagaan kecil, mereka tidak mempunyai kontrak pekerjaan yang betul.

Kebanyakan pekerja migran di Malaysia dibayar gaji minimum atau dengan upah yang sedikit.

Berdasarkan laporan daripada Amnesty International (2010), sebelum mereka dihantar ke Malaysia untuk bekerja, pekerja migran seharusnya membayar sebanyak RM5,000 atau lebih kepada ejen perekrut di negara masing-masing. Mereka juga telah dijanjikan bahawa pungutan untuk permit adalah sebanyak RM350 yang akan dipotong dari gaji mereka tetapi ejen akan memotong sebanyak RM1,200. Seringkali, pemerosesan dokumen permit pekerja tidak pernah wujud.

Ejen perekrut turut menipu pekerja-pekerja migran mengenai upah yang akan mereka terima, jenis pekerjaan yang akan mereka laksanakan, serta waktu dan keadaan pekerjaan. Dalam senario yang paling teruk, ejen juga akan menipu mereka mengenai lokasi dan negara yang akan di hantar untuk bekerja. Dengan ini, mereka tidak mempunyai pilihan yang lain dan harus mengikuti perintah majikan mereka, dipaksa untuk bekerja 7 hari seminggu tanpa rehat kerana telah terikat dengan masalah perhambaan hutang.

Ringkasnya, mereka telah diambil kesempatan dan harus membuat bayaran atau kos yang berkaitan kepada ejen sumber manusia tidak berlesen.

Dengan keadaan ekonomi semasa, masyarakat tempatan sanggup mengambil pekerjaan seperti itu. Untuk menggalakkan inisiatif ini, kerajaan telah menawarkan gaji sebanyak RM2,400 sebulan kepada pekerja warga Malaysia. Perlakuan ini telah mendorong pekerja migran berhenti secara tidak langsung daripada pekerjaan mereka, dan dibiarkan menganggur tanpa upah untuk menampung kehidupan seharian.

Oleh kerana kerana sifat pekerjaan seperti di pasar borong sangat mencabar, penduduk tempatan segera menyedari bahawa mereka tidak boleh bertahan lebih dari seminggu dan enggan melakukan ‘pekerjaan sukar’, seperti mengangkut hasil laut dan barangan segar atau pun kerja-kerja pembersihan.

Ini menunjukkan betapa pentingnya tenaga kerja migran menyumbang kepada operasi harian pasar tempatan yang menampung permintaan makanan seharian penduduk tempatan.

Diskriminasi yang ketara

Insiden baru-baru ini, seperti serbuan daripada pihak imigresen dan pelarian Rohingya yang tersangkut di laut telah memberi kesan  lonjakan kenyataan negatif dan prasangka yang dibuat oleh rakyat malaysia di media sosial.

Contoh kenyataan-kenyataan tersebut adalah seperti pekerja migran di negara ini akan meningkatkan kes atau isu jenayah, membawa penyakit dan virus seperti Covid-19 dan juga serangan pengganas.

Sebenarnya, statistik yang disediakan oleh kerajaan telah menunjukkan bahawa hanya 1 peratus kes jenayah di Malaysia dilakukan oleh pekerja migran. Dari segi wabak Covid-19, hanya 5.01 peratus disahkan positif, manakala statistik bagi masyarakat tempatan tidak dapat di kesan kerana kekurangan ketelusan.

Soalan yang turut dikemukakan adalah ketakutan disebalik memperluaskan sumber-sumber negara ini disalurkan kepada pekerja-pekerja migran dan pelarian, dan bukannya untuk membantu penduduk tempatan.

Namun demikian penduduk tempatan perlu diingatkan bahawa pembayaran cukai dan ekonomi negara tidak digunakan untuk menampung masyarakat migran dan pelarian. Sebaliknya, dermaan peribadi oleh penduduk tempatan kepada Non-governmental Organization (NGO), ataupun badan bukan kerajaan yang berkaitan bertanggungjawab sepenuhnya untuk memberi makanan seharian dan membiayai pekerja migran di negara ini.

Pekerja migran telah menyumbang lebih banyak daripada apa yang mereka ambil di negara ini. 

Sebenarnya, statistik yang disediakan oleh kerajaan telah menunjukkan bahawa hanya 1 peratus kes jenayah di Malaysia dilakukan oleh pekerja migran.

Sektor ekonomi terbesar di Malaysia, seperti industri pembinaan dan pembuatan, yang dijangka untuk berkembang sebanyak 4.1 peratus pada tahun ini, sangat bergantung kepada pekerja migran. Hampir 60 peratus telah diupah untuk melakukan kerja-kerja keras malah mereka masih menghadapi masa yang sukar untuk berasimilasi dengan masyarakat tempatan dan menghadapi diskriminasi.

Ubah Sistem – Peranan kerajaan dalam naratif ini

Walaupun sudah jelas bahawa kita tidak seharusnya menghukum pendatang yang telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia, pihak berkuasa telah gagal menyedari bahawa mengkriminalisasi pekerja migran tanpa dokumen dengan melakukan serbuan tidak akan menyelesaikan punca masalah ini. 

Malah, tingkah laku seperti ini bukan sahaja akan menimbulkan perasaan takut di kalangan masyarakat Malaysia, tetapi juga pekerja migran untuk tampil ke hadapan dan membuat aduan tentang masalah atau penderaan yang mereka hadapi. 

Sebaliknya, kita harus memberi tumpuan kepada sindiket-sindiket dan orang tengah yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab mengeksploitasi buruh migran, menjual dan membeli manusia ini seperti ikan di pasar.

Walaupun penting untuk mengakui inisiatif kerajaan untuk membasmi sindiket dan orang tengah tersebut pada tahun 2018, eksploitasi buruh migran tidak berakhir di sini sahaja.

NGO Tenaganita telah membangkitkan bahawa penderaan lain oleh majikan seperti tidak membayar gaji, menolak untuk mendapatkan dokumen yang sesuai dan menyimpan pasport mereka untuk mengelakkan mereka keluar adalah contoh-contoh eksploitasi yang dihadapi oleh pekerja migran.

Laporan daripada Amnesty International juga telah mendedahkan bahawa ejen perekrut dan majikan mereka di Malaysia akan menolak kos permit daripada gaji mereka dengan sebaik sahaja mereka mula bekerja. Kebiasaannya sebanyak RM2,000 (dalam jangka masa tiga hingga empat bulan) akan ditolak daripada gaji mereka. 

Kerajaan harus sedar bahawa tingkah laku yang tidak berperikemanusiaan ini akan menimbulkan lagi persepsi dan diskriminasi yang negatif oleh masyarakat tempatan terhadap pekerja-pekerja migran.

Secara ringkasnya, migran juga manusia.

Tahun ini, Kakakcu berusia 53 tahun. Dia tidak lagi menjaga saya dan abang saya. Kakakcu berharap, dalam beberapa tahun lagi, dia dapat pulang ke negaranya  untuk bersatu kembali bersama keluarga dan anaknya, dengan bekalan wang yang cukup wang sebagai warisan untuk generasi keluarga seterusnya.

Sementara itu, dia masih rela bekerja dengan ikhlas dan penuh kasih sayang untuk menjaga datuk dan nenek saya. Kita sering lupakan seberapa banyak yang telah mereka sumbangkan bukan hanya untuk membangun ekonomi negara ini, tetapi juga sumbangan mereka kepada masyarakat kita.

Semasa pandemik COVID-19, mereka telah bekerja di barisan depan sebagai sebahagian daripada kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) di United Kingdom ataupun bekerja keras untuk menghasilkan sarung tangan untuk digunakan oleh pekerja sektor kesihatan di Malaysia.

Mereka telah berusaha untuk memastikan bahawa keperluan kita dapat dipenuhi pada masa-masa yang sukar ini.

Seperti apa yang dikatakan oleh Aegile Fernandez, pengarah NGO Tenaganita, “kita perlu mengubah sistem. Kita perlu mewujudkan sistem migrasi pekerja yang komprehensif.”