Representasi Komuniti Terpinggir Dalam Kerajaan – Di manakah mereka?

Baru-baru ini, Jacinda Ardern telah dilantik sebagai Perdana Menteri New Zealand untuk kali kedua dengan kemenangan yang besar. Beliau telah mengambil peluang ini untuk membina sebuah kerajaan dan parlimen yang paling inklusif di dunia, dengan melantik Nanaia Mahuta, seorang wanita daripada golongan Orang Asal sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negara. 

Pada masa ini, lebih daripada separuh wakil kerajaan New Zealand dipegang oleh golongan wanita, dan kira-kira 10% wakil tersebut adalah daripada golongan LGBT.

Kebangkitan golongan-golongan yang terpinggir seperti wanita, belia, masyarakat Orang Asal dan LGBT merupakan salah satu detik sejarah yang penting dalam kancah politik di seluruh dunia. Ini akan menentukan keadaan saksama, peluang yang sama rata dan layanan yang adil bagi masyarakat wujud. 

Adakah Malaysia ketinggalan dalam aspek ini?

Banyak cabaran yang dihadapi oleh golongan yang terpinggir untuk memasuki politik di negara ini. Antaranya adalah kekurangan sokongan parti dan juga aspek “model maskulin” dalam politik. Sistem politik Malaysia masih dikuasai oleh golongan lelaki, dengan lebih separuh Dewan Rakyat dipegang oleh golongan lelaki berbangsa Melayu.

Seksisme dan gangguan seksual terhadap wanita dalam politik

Pada tahun 2002, hanya 3 wanita memegang jawatan sebagai menteri, iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Kebajikan dan Perpaduan Nasional. Di Dewan Rakyat pula, hanya 20 atau 10.36% daripada 193 Ahli Parlimen (MP) adalah wanita. Secara keselurahannya, antara tahun 1955 hingga 1999, MP wanita hanya memegang antara 2 hingga 8% jawatan parlimen

Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan yang perlahan dalam kedudukan wanita dalam politik. Selepas Pilihan Raya 2018 yang dimenangi oleh Pakatan Harapan, 9 daripada 50 ahli kabinet adalah wanita. Kerajaan semasa itu juga telah melantik Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia. Walaupun manifesto parti tersebut mengusulkan untuk memberi sekurang-kurangnya 30% kabinet kepada wanita, hanya 18% telah dituntutkan. 

Sudah tentunya kita dapat melihat sedikit peningkatan dari segi representasi, tetapi perubahan ini tidak menggambarkan keadaan semasa. 

Misalnya, pada sidang parlimen bulan Julai lepas, Kasthuriraani Patto, seorang ahli Parlimen Batu Kawan, ketika berhujah, beliau diserang dan diberi komen yang dianggap rasis dan seksis oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ini adalah masalah biasa yang dihadapi oleh ahli politik wanita setiap hari. Kajian oleh Inter-Parliamentary Union dari European Council mendedahkan bahawa Ahli Dewan wanita lebih terdedah kepada keganasan berdasarkan jantina di parlimen berbanding dengan Ahli Dewan golongan lelaki.

Kebangkitan golongan-golongan yang terpinggir seperti wanita, belia, masyarakat Orang Asal dan LGBT merupakan salah satu detik sejarah yang penting dalam kancah politik di seluruh dunia. Ini akan menentukan keadaan saksama, peluang yang sama rata dan layanan yang adil bagi masyarakat wujud. 

Juga dinyatakan bahawa lebih daripada 50% Ahli Parlimen wanita menghadapi keganasan dan ancaman di media sosial oleh musuh politik atau rakan sekerja mereka.

Dr Chang Kee Ying, ahli politik Barisan Nasional dari Sabah merupakan seorang mangsa gangguan tersebut. Semasa pilihan raya Sabah baru-baru ini, sebuah gambar bogel palsu dirinya telah menjadi viral di media sosial. Ia disifatkan sebagai taktik politik oleh pembangkang untuk menjatuhkan reputasinya

Tindakan sedemikian tidak akan berlaku terhadap ahli politik lelaki. Perbuatan ini akan terus memberi tekanan kepada ahli politik wanita dan menghalang mereka daripada melakukan tugas.

Apabila seorang Ahli Dewan lelaki melakukan serangan peribadi di parlimen, secara eksplisit atau tersirat terhadap Ahli-Ahli Dewan wanita, ia menghantar mesej yang keras bahawa parlimen tidak mengambil berat terhadap tingkah laku buruk Ahli-Ahli Dewan lelaki. Lebih-lebih lagi, langsung tiada hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka.

Isu representasi bagi Golongan Orang Asal

Bagi representasi masyarakat Orang Asal (OA), Ramli Mohd Nor yang berketurunan suku kaum Semai daripada parti Barisan Nasional telah mencipta sejarah negara selepas dilantik sebagai Orang Asli pertama untuk memegang jawatan Ahli Parlimen. Beliau memenangi Pilihan Raya Kecil di Cameron Highlands pada tahun 2019. 

Gambar oleh Wikimedia Commons

Terdapat 18 subkumpulan OA di dalam kumpulan Negrito (Semang), Senoi dan Orang Asli-Melayu. Kumpulan ini berjumlah 198 ribu atau 0.7% daripada populasi Semenanjung Malaysia.

Di Sarawak pula, Masyarakat OA secara kolektif dikenali sebagai penduduk asli (Dayak dan Orang Ulu) termasuk 18 subkumpulan. Mereka merangkumi sekitar 1.9 juta atau 70.5% penduduk Sarawak. Manakala di Sabah, 39 kumpulan etnik OA dikenali sebagai Anak Negeri (termasuk 4 kumpulan utama) dan merangkumi sekitar 2.2 juta atau 58.6% penduduk Sabah

Walaubagaimanapun, representasi di peringkat kerajaan masih tidak cukup untuk merangkumi semua masyarakat OA di Malaysia, dan kebajikan mereka telah diabaikan. Sebagai contoh, mereka terus dipindahkan dari tanah leluhur mereka dan dilarang akses masuk ke hutan untuk mencari keperluan harian mereka seperti sumber makanan dan perubatan. 

Pada bulan Februari, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menerbitkan notis berhubung penyahwartaan Hutan Simpanan Kuala Langat Utara. Projek ini melibatkan sebanyak 930.93 hektar hutan simpan yang dirancang untuk membina ‘projek pembangunan bercampur’. Kawasan simpanan ini juga merupakan penempatan sebanyak tujuh kampung OA.

Dua bulan selepas pengumuman itu, sebuah sesi pertemuan Town Hall dianjurkan, dengan kehadiran lebih daripada 100 masyarakat OA. Mereka menyatakan bahawa beberapa rumah telah diserbu oleh pihak polis dan dipaksa untuk bersetuju dengan penyahwartaan itu. 

“Telefon bimbit kami dirampas dan kami dibawa ke balai polis untuk memberikan keterangan kami … ‘agensi dakwah’ harus menjaga kebajikan kami, tetapi di mana mereka ketika itu?” kata Rohani, penduduk dan ahli suku OA di Hutan Simpanan Kuala Langat

Peminggiran golongan LGBTQ

Golongan LGBTQ dilihat sebagai golongan yang paling terpinggir di negara ini. Mereka turut menghadapi masalah diskriminasi dan diserang, ditangkap, dirotan, atau dipenjarakan di bawah kerajaan semasa.

Gambar oleh Stock Catalog

Menurut Pew Research (2013), 80% rakyat Malaysia percaya bahawa homoseksual tidak boleh diterima oleh masyarakat. Dengan ini, mereka menghadapi keganasan yang berterusan dan dilarang mendapat keperluan-keperluan asas manusia seperti pekerjaan, perawatan, pendidikan, perumahan dan keselamatan umum. 

Satu contoh yang jelas adalah kes Numan Afifi. Di bawah kerajaan Pakatan Harapan, Numan meletak jawatan sebagai pegawai media sementara Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan pada masa itu). Beliau dikecam dan diancam oleh pihak netizen dan penyokong pembangkang kerana orientasi seksualnya dan kerja aktivisnya bagi menolong golongan LGBTQ. Ini merupakan contoh bagi kes diskriminasi di tempat kerja. 

Tanpa representasi yang tepat dalam kerajaan, golongan LGBT akan terus tersisih. 

Kerajaan harus mula melihat situasi mereka melalui lensa hak asasi manusia dan tidak menganggap komuniti ini sebagai musuh Islam – ia hanya akan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang ramai terhadap golongan LGBTQ. 

Apa yang akan berlaku bila representasi wujud dalam Kerajaan?

Pertama sekali, apabila representasi yang adil dan saksama wujud di parlimen, polisi-polisi yang dibentangkan akan lebih relevan dengan apa yang berlaku di peringkat akar umbi. Ini kerana ahli dewan rakyat kongsi pengalaman yang sama dan memahami isu-isu yang masyarakat lalui. 

Satu kajian pada tahun 2018 menunjukkan bahawa jumlah pengundi dalam pilihan raya di Eropah semakin menurun kerana parti-parti politik gagal untuk mengukuhkan perhubungan antara masyarakat dan parti politik berkaitan. Ini kerana ahli politik yang terpilih untuk mewakili mereka tidak kongsi pengalaman atau perjuangan yang sama. 

“Telefon bimbit kami dirampas dan kami dibawa ke balai polis untuk memberikan keterangan kami … ‘agensi dakwah’ harus menjaga kebajikan kami, tetapi di mana mereka ketika itu?” kata Rohani, penduduk dan ahli suku OA di Hutan Simpanan Kuala Langat

“The Role Model Effect” juga merupakan satu aspek yang penting untuk meluaskan representasi dalam kerajaan. Kesan ini dapat membantu masyarakat maju dengan memecahkan stereotaip berkaitan dan memberi kuasa kepada individu, terutamanya golongan belia, untuk naik ke peringkat kerajaan dan mewakili komuniti mereka.

Menurut Wolbrecht dan Campbell, wanita muda akan lebih terdorong untuk melibatkan diri dalam politik jika mereka melihat Ahli Dewan golongan wanita berhujah di Parlimen. 

Secara ringkas, representasi merupakan aspek yang penting dalam sistem demokrasi. 

Walaupun rakyat Malaysia dapat menyaksikan pilihan raya yang bersejarah pada tahun 2018, namun, masih ada ruang untuk peningkatan. 

Membina kerajaan inklusif yang mewakili semua identiti bangsa, budaya, orientasi seksual dan status sosio-ekonomi akan memberi impak terhadap sistem demokrasi negara. Kemajuan negara ini bukan hanya diukur dari segi ekonomi, tetapi dari segi kualiti hidup kesemua rakyat Malaysia.

Malaysia hanya akan menjadi negara yang maju apabila semua orang dalam masyarakat ini mempunyai akses yang adil dan saksama.

Gambar utama oleh Wikimedia Commons